Selasa, 04 Oktober 2011

Defenisi Kimia

KIMIA merupakan cabang sains yang berkenaan dengan komposisi, struktur, dan ciri jirim, dan juga perubahan yang dialami oleh jirim dalam tindak balas kimia. Kimia merupakan sains fizikal yang melibatkan kajian pelbagai atom, molekul, hablur dan bentuk jirim lain baik diasingkan atau disebatikan, yang membabitkan konsep tenaga dan entropi berkenaan dengan kespontanan proses kimia.
Kimia dibahagikan kepada beberapa bahagian iaitu:
  1. kimia organik
  2. kimia tak organik
  3. kimia fizik
  4. kimia analisis
  5. biokimia
  6. kimia pengkomputan

Pelbagai bahagian baru seperti neurokimia telah wujud kebelakangan ini. Kimia moden berkembang daripada ilmu alkimia semasa revolusi kimia 1773. *KIMIA ORGANIK adalah kajian sains mengenai struktur, ciri-ciri, komposisi, reaksi kimia, dan sintesis sebatian organik (organic compound). Pengajian kimia organik kini lebih mementingkan mekanisme tindak balas berbanding dengan siri homolog sebatian organik itu.

 

Tatanama Organik

Tatanama organik (organik nomenclature) adalah sistem yang diadakan bagi menamakan dan mengelaskan sebatian organik. Tatanama organik yang perlu digunakan adalah sebagaimana yang disarankan oleh Kesatuan Antarabangsa bagi Kimia Tulen dan Gunaan (International Union of Pure and Applied Chemistry, IUPAC). Peraturan-peraturan tatanama yang ditetapkan mengikut Saranan 1979 dan 1993.

Ciri-ciri unsur organik

Sebab terdapatnya begitu banyak sebatian karbon adalah kerana unsur karbon mempunyai keupayaan untuk membentuk rantaian karbon yang mempunyai pelbagai panjang dan saiz gelung (katenation). Kebanyakan sebatian karbon amat sensitif kepada haba, dan biasanya terurai bawah 300'C. Sebatian karbon biasanya kurang larut dalam air berbanding garam inorganik lain. Berbeza dengan garam sedemikian, sebatian karbon biasanya lebih mudah larut dalam pelarut organik seperti eter atau alkohol. Sebatian organik terbentuk dari ikatan kovalen (covalent bond).

Menentukan struktur molekul sebatian organik

Pada masa kini, terdapat beberapa cara untuk menentukan struktur sebatian organik. Secara umumnya:
  • Kristallografi: Kaedah paling tepat tetapi mahal. Hanya boleh digunakan apabila sebatian tersebut dapat membentuk kristal.
  • Analisis Unsur (Elemental Analysis): Kaedah menghancurkan untuk menentukan komposisi unsur molekul.
  • Spektroskopi infra merah: Biasanya digunakan bagi menentukan kehadiran (atau ketiadaan) kumpulan fungsi tertentu.
  • Spektrometri jisim: Digunakan untuk menentukan berat molekul sesuatu sebatian dan pola serpihan.
  • Spektroskopi resonans magnetik nuklear (RMN): Dapat menentukan kehadiran nukleus yang bersifat magnetik dan membuat deduksi tentang persekitarannya berdasarkan kepada anjakan kimia.
Lihat kimia analisis untuk kaedah lain.

Sejarah

Pada awal kurun ke-18, kimia organik dianggap sebagai satu cabang kimia yang mengkaji bahan-bahan kimia yang diperoleh daripada benda hidup manakala kimia tak organik dianggap sebagai cabang kimia yang mengkaji bahan-bahan kimia yang diperoleh daripada benda bukan hidup.
Kimia organik sebagai satu bidang sains dipersetujui umum sebagai bermula pada tahun 1828 dengan Friedrich Woehler mensistesis sebatian organik penting urea, secara tak sengaja dengan menyejatkan larutan akues (aqueous) ammonium cyanate(NH4OCN).

Mekanisme tindak balas

Tindak balas kimia sebatian organik boleh dikelaskan kepada tiga:
  • Penukargantian
  • Penambahan
  • Penyingkiran
Pengoksidaan, penurunan, dan penyusunan semula biasanya boleh diungkapkan sebagai kombinasi tiga tindak balas diatas.
*KIMIA TAK ORGANIK merupakan salah satu cabang dalam ilmu kimia yang tertua sekali. Kimia tak organik melibatkan pengajian tentang bahan-bahan yang bukan organik atau benda-benda bukan hidup. Ini bermaksud kajian tentang hampir semua sebatian kimia kecuali yang berdasarkan kepada rantai karbon (kimia organik).
Pembelajaran kimia tak organik boleh dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian pertama (bersifat lebih moden) meliputi aspek-aspek asas dalam kimia seperti struktur atom, pembentukan ikatan kimia dan daya tarikan antara zarah, variasi sifat-sifat fizik dalam jadual berkala, teori asid dan bes, tindak balas redoks, sebatian koordinasi, dan sebatian-sebatian organologam. Bahagian kedua (bersifat tradisi) meliputi sifat-sifat kimia setiap unsur yang biasanya dikaji mengikut kumpulannya.
Untuk suatu jangka masa yang lama di sekitar abad ke-20, kimia tak organik dianggap sebagai satu cabang kimia yang tidak produktif lagi memandangkan banyak sebatian tak organik telah ditemui. Fenomena ini dapat ditunjukkan apabila tiada Hadiah Nobel dalam bidang kimia dianugerahkan kepada sebarang penemuan dalam cabang kimia tak organik semenjak Alfred Werner pada tahun 1913 sehinggalah Geoffrey Wilkinson dan E. O. Fischer berkongsi Hadiah Nobel dalam kimia pada tahun 1973. Satu faktor utama yang menyebabkan cabang ini kelihatan tidak produktif adalah penemuan mekanik kuantum pada 1920-an. Mekanik kuantum telah digunakan untuk menerangkan banyak fenomena, corak, dan sifat-sifat sebatian dalam kimia.
*KIMIA FIZIK merupakan salah satu cabang dalam ilmu kimia. Kimia fizik ialah pengkhususan dalam bidang penemuan yang cuba menerangkan dan menggambarkan rupa bentuk dan sifat sesuatu bahan kimia secara teori. Ia menggabungkan bidang kimia, fizik, termodinamik dan mekanik kuantum.
Seperti mana-mana bidang sains fizikal yang lain, pengunaan matematik dalam kimia fizik adalah amat luas. Akan tetapi, seseorang itu tidak patut beranggapan bahawa tanpa matematik, kimia fizik tidak boleh berfungsi.
Skop-skop umum yang diliputi oleh bidang kimia fizik ialah ciri-ciri gas, termodinamik, keseimbangan kimia, elektrokimia, mekanik kuantum (kimia kuantum), spektroskopi, kinetik tindak balas, dan ciri-ciri pepejal, cecair, koloid, dan permukaan.
*KIMIA ANALISIS merupakan salah satu cabang dalam ilmu kimia. Bidang ini merupakan satu bidang yang berkaitan dengan komposisi sesuatu bahan. Misalnya, pengujian mengenai keracunan dalam makanan dan minuman memerlukan pengalaman kimia analisis.
*BIOKIMIA merupakan salah satu cabang sains yang menemukan dua bidang sains yang penting, iaitu biologi dan kimia (seperti yang terdapat dalam nama bidang ini). Bidang ini mengkaji bahan-bahan kimia yang terdapat dalam benda hidup iaitu mengenai hewan, tumbuhan dan mikrorganisma.
Biokimia merujuk kepada pengkajian mengenai bahan kimia yang dihasilkan oleh benda hidup, kesannya, kegunaannya, dan cara memanfaatkan bahan aktif tersebut bagi meningkatkan taraf hidup manusia.
Antara kelas bahan kimia yang dikaji dalam bidang biokimia ialah
  • karbohidrat
  • lipid
  • protein atau asid amino
  • asid nukleik
  • vitamin

0 komentar:

Posting Komentar

Tinggalkan komentarnya dong...